Pukul 'bodyguard' berpuasa, majikan dipenjara 6 tahun 10 bulan, denda RM22,000

KLANG: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 terhadap seorang ahli perniagaan atas tiga pertuduhan membabitkan ugutan, kecederaan serta mengeluarkan perkataan dengan niat melukakan perasaan keagamaan terhadap dua pengawal peribadinya, pada 2021.

Majistret Siti Zubaidah Mahat membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang mewakili Chung Chee Yang, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan terhadap semua pertuduhan pindaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 21 bulan jika gagal membayar denda.

"Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala kes kedua mengikut Seksyen 298 kanun sama iaitu mengeluarkan perkataan disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan mangsa, tertuduh dipenjara setahun dan denda RM10,000.

"Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun sama, tertuduh dipenjara 10 bulan dan denda RM2,000 dengan semua hukuman pemenjaraan berjalan berasingan," katanya.

Siti Zubaidah turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sebaliknya memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan jenayah iaitu ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd Azminizam Zulkepli, 48, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengeluarkan perkataan mengaitkan Allah dan puasa, dengan niat melukakan perasaan agama Islam, yang didengar Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di luar rumah di Bandar Bukit Tinggi, di sini, antara jam 9.30 hingga 10.30 malam, pada 13 April 2021.

Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Chee Yang ketika hujahan mitigasi memohon mahkamah mengambil kira tertuduh seorang majikan yang baik dan banyak membantu orang sebelum dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, anak guamnya juga tidak pernah gagal hadir mahkamah sepanjang prosiding sejak empat tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi dalam hujahannya pula memohon mahkamah mengambil kira kes Chee Yang itu tular dan mendapat perhatian awam susulan ia menyentuh sensitiviti agama.

Katanya, Chee Yang pada tahun lalu disabitkan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang bukan saja mencederakan mangsa, malah mengacukan pistol kepada pengawal peribadinya itu kerana berpuasa serta tidak patuh arahannya untuk tidak melakukan demikian.

"Kes ini berlaku pada hari pertama berpuasa iaitu pada 13 April 2021 dan diselesaikan pada hari terakhir Ramadan iaitu 28 Mac (hari ini) iaitu selepas hampir empat tahun.

"Diharap hukuman paling berat dikenakan kepada tertuduh supaya tiada lagi individu boleh menghina agama Islam atau menjadi angkuh serta bongkak selepas ini," katanya.